KUALA LUMPUR, 19 Nov: Sejumlah RM23.25 bilion telah dibelanjakan untuk membeli ubat sejak tahun 2015 sehingga 2023.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, menerusi laporan statistik Program Perkhidmatan Farmasi, perbelanjaan bagi pembelian ubat-ubatan pada tahun 2023 telah meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh lapan tahun iaitu RM3 bilion berbanding RM2.3 bilion pada tahun 2015.
“Peningkatan peruntukan kewangan ini adalah selari dengan kenaikan harga ubat-ubatan, pertambahan bilangan pesakit dan penggunaan ubat-ubatan baharu mengikut kepakaran yang lazimnya masih dalam tempoh paten dan harga ubat lebih mahal.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengunjurkan jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menampung keperluan ubat-ubatan di fasiliti-fasiliti KKM akan meningkat dari tahun ke tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas mengenai perancangan KKM, beliau berkata beberapa strategi telah dibangunkan berpandukan kepada Dasar Ubat Nasional (DUNas), di bawah Komponen Akses Kepada Ubat-Ubatan.
“Perancangan pertama melibatkan memastikan ketersediaan ubat-ubatan National Essential Medicine List (NEML) menerusi galakan lebih banyak pengilangan tempatan serta memberi keutamaan kepada penilaian dan pendaftaran produk.
“Seterusnya, menambah baik ketelusan rantaian bekalan melalui pembangunan sistem penjejakan dan pengesanan produk farmaseutikal,” jelasnya.
Katanya lagi, KKM kini juga sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem farmaseutikal di negara ini bermula dari penemuan, kajian pra-klinikal dan klinikal, pengilangan, pengedaran dan sebagainya dan ia merentasi pelbagai kementerian dan agensi awam serta melibatkan sektor swasta khususnya pemain industri.
“Melalui sesi libat urus ini, KKM berusaha untuk mengenal pasti kekuatan dan kelebihan industri farmaseutikal tempatan bagi disyorkan semasa pembangunan pelan tindakan dan pelaksanaan kolaborasi strategik ASEAN Drug Security & Self-Reliance (ADSSR),” tambahnya.
Dr Dzulkefly turut mendedahkan bahawa Malaysia melalui KKM diberi mandat sebagai negara peneraju inisiatif antara negara ASEAN dengan objektif utamanya adalah untuk memastikan keterjaminan ubat-ubatan di peringkat serantau, seterusnya meningkatkan lagi kemandirian penghasilan ubat-ubatan di rantau ini. – TVS