KUALA LUMPUR, 19 Nov: Pembukaan sistem pagar automatik atau ‘autogate’ menjadi antara usaha mengatasi kesesakan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Naustion Ismail berkata, ia turut mengambil kira faktor jumlah ketibaan pelancong yang tinggi.
“Pada waktu puncak antara 11 pagi hingga 9 malam, kesemua di KLIA 1, 60 kaunter manual dan 10 autogate kita buka manakala di KLIA 2, 38 kaunter manual dan 10 autogate kita buka.
“Pada waktu puncak ini kita pastikan semuanya adalah dibuka supaya tiada kesulitan di peringkat pengembara, sama ada rakyat kita ataupun rakyat luar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, mulai Mei tahun ini inisiatif untuk mengurangkan waktu menunggu juga telah dijadikan sebagai ‘Key Performance Indicator’ dan dipantau oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Jadi, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia atau MAVCOM telah mewujudkan kerangka Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang disebut QOS dan pelaporan prestasi diukur menggunakan sistem Smart Q yang berasaskan teknologi Internet of Thing dari Xovis AG.
“Jadi sistem ini dia gunakan teknologi infrared dan dia mengesan dan menganalisa pergerakan penumpang termasuk bagi mengukur tempoh waktu menunggu. Berdasarkan kepada prestasi ini, lapangan terbang kita mencapai sasaran tempoh menunggu yang pendek,” katanya lagi.
Beliau menambah bahawa berdasarkan kepada prestasi, lapangan terbang mencapai sasaran tempoh menunggu yang pendek.
“Melainkan dalam sebulan akan berlaku lima atau enam hari, ketibaan pesawat itu lari daripada jadual, menjadikan ia selang dua hingga tiga minit. Itu menyebabkan tempoh untuk kita melakukan proses imigresen mengambil sehingga 49 minit, sedangkan sasaran kita kurang 25 minit,” katanya.
Namun tambahnya, 25 hari berikut, tempohnya adalah 85 peratus daripada penumpang dan penyelesaian dilakukan dalam tempoh kurang daripada 25 minit untuk ketibaan.
Dalam masa sama, Saifuddin mendedahkan sehingga 31 Oktober tahun ini (bermula Januari) seramai 32 juta pengembara telah memasuki Malaysia atas pelbagai tujuan. – TVS