KUCHING, 19 Nov: Autonomi imigresen Sarawak adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana mencerminkan kedudukan unik Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dilindungi melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata autonomi ini bukan sahaja berkaitan urusan imigresen tetapi juga pengiktirafan terhadap kedudukan khas Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memperkukuh lagi autonomi ini. MA63 bukan hanya dokumen sejarah malah ia adalah komitmen murni untuk menegakkan hak-hak khas dan unik Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Jelas Abdul Karim, autonomi ini bertujuan untuk mengatur dan mengawal kemasukan individu ke Sarawak demi melindungi keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat.
“Perkara berkaitan autonomi Imigresen Sarawak secara kukuhnya adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 161E(4) dan Akta Imigresen 1959/63.
“Autonomi ini merangkumi hak eksklusif Kerajaan Sarawak untuk mengatur dan mengawal kemasukan individu ke Sarawak, demi melindungi keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat kita. Hak ini juga adalah untuk memastikan kawalan imigresen kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) menjadi panduan kepada penggubalan MA63 yang menekankan kepentingan Sarawak untuk mengekalkan kawalan terhadap imigresen sebagai langkah melindungi budaya, sosial, dan ekonomi.
Justeru, kerajaan Sarawak terus komited untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri dipelihara dalam usaha mencapai matlamat menjadi wilayah maju dan makmur.-TVS