KUCHING, 19 NOV: Seramai lapan pempengaruh dan pencipta kandungan media sosial dari Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Riau, Indonesia yang ‘berkampung’ di Kuching disajikan dengan pengalaman unik dan berpeluang menikmati tradisi kebudayaan Melayu Sarawak pada acara Malam Kebudayaan Melayu Sarawak di Dewan Sri Bunga Rampai di sini, pada Isnin.
Acara berkenaan antara inti pati lawatan suai kenal di Bandaraya ini selama empat hari, tiga malam bermula Jumaat anjuran Sarawak Tourism Board (STB) dan AirAsia.

Selain disajikan jamuan istimewa ‘Nasi Pengilan’ yang terdiri daripada nasi minyak dan lauk-pauk khusus untuk kenduri kahwin di Sarawak yang disediakan khas oleh Dewan Sri Bunga Rampai, para tetamu istimewa itu juga turut menyertai acara makan Nasi Temuan secara olok-olok.

Foto: AirAsia
Acara yang julung kali diadakan itu juga dilengkapi dengan persembahan bergendang dan bermukun yang dipersembahkan oleh Kumpulan Warisan Kampung Semariang.

Foto: AirAsia
Menurut kenyataan AirAsia semalam, lawatan suai kenal bagi para pempengaruh dan pengamal media seumpama ini merupakan antara aktiviti kerjasama STB dan AirAsia dengan tujuan mempromosikan Kuching dan Sarawak amnya sebagai destinasi pelancongan pilihan serantau.

Bagi Amirah Husain, pengendali akaun TikTok @amirahferdi, lawatannya kali ini, meskipun bukan kali pertama ia merupakan suatu pengalaman yang menarik dan bermakna kerana dirinya berpeluang menikmati pelbagai aspek dan tarikan pelancongan ‘tersembunyi’ di Kuching.
“Sarawak sememangnya sangat unik dan pasti akan datang berkunjung lagi,” katanya.
Sementara itu, TikTokker yang merupakan rakan sekampung dari Daik Lingga, Kepulauan Riau iaitu Rahul Priambudi (@rahulprmbd) dan Rakhmadiana Siraj (@sirajakapoor) pula menganggap lawatan mereka di sini sangat istimewa kerana ia pertama kali mereka menjejakkan kaki di Pulau Borneo.
“Sebelum ini kami pernah berkunjung ke Semenanjung dan berkolaboraitf dengan pencipta kandungan di sana.
“Bagi kami kunjungan ke Kuching adalah pengalaman yang menarik dan kami terpesona dengan keindahan dan daya tarikan serta pelbagai tarikan pelancongan sekitar bandaraya Kuching.

Foto: AirAsia
“Bagi kami keramahan serta sambutan mesra yang diterima selama berada di Sarawak sangat meninggalkan kesan,” ujar mereka ketika ditemui penulis.
Lawatan terbabit turut disertai; TikTokker Allif Imran (@aliffimran) dan Hans Hanis (@hanshanis), Tunku Alifah Ilyana Tunku Yazid dari majalah Gaya Travel (www.gayatravel.com.my) dan Nur Izzati Haron Narashid dari portal pengembaraan HalalZilla (www.halalzilla.com).
Kenyataan turut mendedahkan Dewan Sri Bunga Rampai dipilih sebagai lokasi majlis kerana kepakaran serta pengalaman pemiliknya iaitu Din Catering dalam menyediakan sajian khas Nasi Pengilan serta pelbagai hidangan lain bagi majlis perkahwinan dan pelbagai acara di bandaraya Kuching dan sekitarnya.
Selain menjadi lokasi majlis perkahwinan dan acara jamuan, Dewan Sri Bunga Rampai juga menyediakan kafe yang menyediakan juadah Nasi Pengilan selain daripada menu-menu tempatan setiap hari. Kafe Sri Bunga Rampai dibuka setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 5 petang.
Selain laman Sarawak Edition yang membuat siaran langsung acara itu melalui Facebook, majlis turut disertai portal ILoveBorneo (www.https://www.iloveborneo.my) serta TikTokker tempatan seperti Farah Diyana Samsuddin dan Noorasikin Mohamed (@halujii.sarawak), Yanty Mohamad (@kak_y4n), Ismail Roslan (@ismail.bin.roslan), Aidil Adha (@thekayanganhunter), Ariqa Adilda (@ariqaadilda) dan Hasfazilawaty Hasbi (@waterlily369).
Program lawatan terbabit dikendalikan oleh Norlin Mohd Salleh bersama Safar Al Ghazali Travel & Tours.