KUCHING, 19 Nov: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan komitmen kementeriannya untuk memperkukuh penganjuran pelbagai acara tempatan bagi menarik lebih ramai pelawat domestik dan antarabangsa pada tahun hadapan.
Menurut beliau, acara-acara seperti Pesta Bederun Balingian, Country Music Festival di Siniawan, Pesta Kaul Mukah, Regatta Mukah, Regatta Lingga, Maludam Explore Race serta Kite Festival di Kabong akan terus dipertingkatkan dari segi kualiti dan promosi.
“Kami berharap acara-acara ini dapat menarik lebih banyak pelawat, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Ini amat penting kerana sasaran kehadiran pelawat telah ditetapkan sebanyak lima juta untuk tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Abdul Karim turut menyeru kerjasama erat antara pihak penganjur, masyarakat tempatan, dan sektor swasta dalam memastikan acara-acara ini berjaya memberikan impak positif kepada ekonomi setempat, selain mempromosikan budaya dan warisan Sarawak di peringkat global.
“Dengan pelbagai tarikan unik yang ditawarkan melalui acara-acara ini, Sarawak dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama, selaras dengan matlamat negeri untuk mencapai pembangunan pelancongan yang mampan dan inklusif,” katanya.