Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn ketika berucap menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini. Foto UKAS

Sarawak sasar 60 peratus kemasukan STEM menjelang 2030 melalui inisiatif SEEP

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 18 Nov: Program Penambahbaikan Pendidikan Sarawak (SEEP) menyasarkan untuk meningkatkan kemasukan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada 60 peratus menjelang 2030, kata Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak itu berkata, inisiatif ini bertujuan memperbaiki prestasi keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sarawak dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Program ini melibatkan pelaburan besar sebanyak RM15 juta yang mensasarkan pelajar berprestasi rendah dalam Tingkatan 3, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Melalui SEEP, Sagah berkata Sarawak menjangkakan peningkatan ketara dalam prestasi akademik SPM dalam kalangan pelajar di seluruh negeri.

Beliau menambah bahawa SEEP turut mensasarkan untuk membawa Gred Purata Negeri (GPN) Sarawak setara dengan purata kebangsaan, di samping meningkatkan bilangan pelajar yang layak untuk kemasukan dalam bidang STEM kepada 60 peratus.

“SEEP bukan sekadar program akademik; ia adalah pelaburan untuk masa depan Sarawak,” ujarnya.

Melalui Program Latihan Raspberry Pi, beliau berkata kerajaan Sarawak telah meningkatkan keupayaan digital pelajar dengan menyediakan komputer Raspberry Pi kepada 1,265 sekolah rendah di negeri ini, serta memberikan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada guru-guru.

Beliau memaklumkan bahawa program tersebut kini hampir selesai dan bersemangat apabila melihat lebih ramai pelajar menggunakan Raspberry Pi untuk pertandingan STEM dan inovasi seperti STEM Trailblazers.

Sagah turut menyuarakan harapannya agar guru-guru di Sarawak memanfaatkan sepenuhnya alat ini dan terus membimbing serta menginspirasi pelajar dalam pembelajaran dan inovasi.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada para guru yang berdedikasi serta Swinburne Innovation atas kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Dalam pada itu, kementeriannya turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran guru bukan opsyen, khususnya untuk mata pelajaran kritikal seperti Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

“Bersama dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, kami telah berjaya menyelesaikan program peningkatan kemahiran untuk kesemua 3,600 guru bukan opsyen dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di Sarawak sejak 2020,” katanya.

Menurut Sagah, latihan ini bertujuan memperkukuhkan teknik pedagogi di samping meningkatkan pengetahuan kandungan, membolehkan guru menyampaikan pendidikan berkualiti tinggi dalam subjek di luar bidang kepakaran asal mereka. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan