DAR ES SALAAM, 18 Nov: Presiden Tanzania Samia Suluhu Hassan mengarahkan pemeriksaan ke atas semua bangunan bertingkat di kawasan pinggir bandar Kariakoo di bandar pelabuhan Dar es Salaam untuk menilai keselamatannya, selepas jumlah korban akibat runtuhan bangunan empat tingkat meningkat daripada lima orang pada Sabtu kepada 13 orang pada Ahad, lapor Xinhua.
Kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad oleh Direktorat Komunikasi Presiden dari Rio de Janeiro, Brazil, memaklumkan yang Presiden Samia mengeluarkan arahan itu susulan runtuhan bangunan empat tingkat di Kariakoo pada pagi Sabtu.
Samia berada di Brazil untuk menghadiri sidang kemuncak G20, yang bermula pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, seramai 84 orang yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan diselamatkan menjelang petang Ahad dan 26 daripada mereka masih menerima rawatan di hospital.
Samia juga mengarahkan pasukan polis Tanzania untuk mendapatkan laporan terperinci daripada pemilik bangunan yang runtuh itu mengenai bagaimana kejadian berlaku.
Beliau berkata kerajaan akan menanggung kos perubatan untuk mangsa dan perbelanjaan pengebumian bagi 13 orang yang terkorban. -TVS