Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan Qi Krishna Kumar (tiga, kanan) bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar (dua, kiri) menyaksikan demonstrasi penggunaan dron pemantauan keselamatan pada Program Kerjasama Teknologi Untuk Meningkatkan Keselamatan dan Kesejahteraan Warga Petaling Jaya di Qi Tower hari ini. Foto Bernama

Polis Petaling Jaya terima dron beresolusi tinggi bernilai RM60,000

ByBernama

PETALING JAYA, 18 Nov: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini menerima sebuah dron yang dilengkapi dengan keupayaan pengawasan beresolusi tinggi bernilai RM60,000 bagi mempertingkatkan kecekapan pencegahan jenayah sekali gus dapat mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih selamat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar berkata kelengkapan itu juga dapat memudahkan akses pihak polis dalam menjalankan pengawasan di kawasan yang sukar dicapai.

“Dron ini dapat membantu polis menjalankan pelbagai tugasan harian seperti pengawasan komuniti, membolehkan kami melakukan peninjauan dari sudut yang tinggi dan dapat melepasi halangan-halangan tertentu.

“Dron ini juga dapat membantu dalam operasi lain seperti penyuraian trafik, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kerana alat ini turut dilengkapi dengan pengesan haba yang dapat membantu polis dalam mencari mangsa yang sesat di hutan,” katanya pada sidang media selepas menerima dron berkenaan daripada Kumpulan QI, sebuah konglomerat multinasional yang terkenal pada Program Kerjasama Teknologi Untuk Keselamatan dan Kesejahteraan Warga Petaling Jaya di sini.

Turut hadir Pengarah Pembangunan Perniagaan QI Krishna Kumar.

Shahrulnizam berkata dalam usaha untuk memastikan kelengkapan itu dapat digunakan secara lebih berkesan, pihaknya juga telah menubuhkan sebuah pasukan yang telah dilatih khusus untuk mengendalikan dron.

“Kami akan mula terbangkan dron ini dari IPD Petaling Jaya dahulu untuk membuat tinjaun trafik di sekitar Lebuhraya Persekutuan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Krishna berkata polis Petaling Jaya ialah pihak pertama yang menerima dron dilengkapi teknologi canggih berkenaan.

“Kami telah bekerjasama dengan pasukan teknologi maklumat (IT) Bukit Aman dan mereka telah menggabungkan perisian berkeupayaan tinggi yang telah dimasukkan ke dalam dron ini.

“Ia dilengkapi dengan pengecaman wajah, sensor haba dan boleh mengesan kebakaran dari tingkat bawah hingga ke tingkat 36 bangunan dan ke atas. Ia juga mempunyai radius tiga batu (4.8 kilometer) dan jangka hayat selama 30 minit. Selain itu, pihak polis juga boleh mengesan nombor plat kenderaan dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata selain membantu polis dalam menjalankan tugasan harian, pemberian dron itu membantu dalam meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan kehidupan seharian komuniti di Petaling Jaya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan