Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan), bercakap kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil. 2 2024 di Bukit Aman hari ini.Foto, Bernama.

Penggunaan kod QR di Tambak Johor diperluas kepada pengangkutan lain menjelang 2025

ByHafeezzur Muzamir

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Penggunaan kod QR di Tambak Johor akan dibuat secara berfasa bagi mod pengangkutan selain bas dan motosikal yang menggunakan sistem berkenaan ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 2 Tahun 2024 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini.

“Mesyuarat hari ini bersetuju penggunaan kod QR hendaklah dimuktamadkan proses perolehannya pada tahun kewangan semasa.

“Kedua, perluasan kod QR ini di semua mod pengangkutan yang lain akan dibuat secara berfasa,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Menara 1 Bukit Aman, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kementeriannya menyasarkan pelaksanaan perluasan kod QR kepada mod pengangkutan yang lain menjelang tahun hadapan melihat kepada kesesakan di laluan itu yang dijangka merekodkan 150 juta pengembara harian.

“Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia, kita juga menjadi Pengerusi ASEAN dengan kita menjangkakan laluan keluar dan masuk di Tambak Johor mencecah 150 juta pengembara setahun berbanding 116 juta pada ketika ini.

“Hal ini kerana Singapura merekodkan kehadiran pelancong tertinggi berbanding negara lain di rantau ini ke Malaysia. Oleh itu, hasrat kita agar perluasan mod pengangkutan yang lain dapat dilaksanakan menjelang tahun depan,” katanya.

Saifuddin menambah, KDN akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) dalam memilih vendor yang ketika ini sedang menjalankan proses ‘proof of concept ‘(POC).

Katanya, data daripada penggunaan kod QR di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi pengangkutan bas dan motosikal telah memperlihatkan keberkesanan dengan pengurangan tempoh menunggu pada waktu puncak sekitar 15-20 minit berbanding 120 minit sebelum ini.

Sementara itu tambah Saifuddin, Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Johor komited dalam mengatasi isu kesesakan di Tambak Johor dengan sejumlah 52 inisiatif dirangka bagi penyelesaiannya.

“Daripada 52 inisiatif, 22 daripadanya sudah selesai, 10 lagi sedang dilaksana, manakala 20 lagi belum dilaksanakan.

“Hasil akhir atau kayu ukur kepada kesemua inisiatif itu adalah mengurangkan kesesakan,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan