Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bercakap pada temu ramah khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengenai Hala Tuju Kerajaan Perpaduan selepas 100 hari memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara, di Perdana Putra baru-baru ini. Foto Bernama

Pendidikan kunci untuk pupuk budaya ketelusan, integriti – KSN

ByBernama

PUTRAJAYA, 18 Nov: Mendidik rakyat tentang rasuah penting untuk memupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata rakyat perlu diberi pendedahan berkaitan keburukan rasuah seawal peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pendidikan tinggi.

“Sekolah dan universiti perlu mengajar tentang nilai kejujuran dan etika bagi menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada seminar bertemakan “Negative Impact of Corruption On Human Rights” anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia di Palais des Nations, Geneva, Switzerland hari ini, yang turut disiarkan secara dalam talian.

Shamsul Azri berkata pendidikan seumpama ini amat penting kerana rasuah boleh melemahkan institusi, menghalang pelaburan asing serta memupuk budaya impuniti atau bebas daripada hukuman, dengan tingkah laku buruk dianggap sebagai normal.

Dalam konteks ini, beliau menegaskan bahawa penglibatan orang ramai juga perlu digalakkan kerana ia membentuk masyarakat yang secara tegas menentang rasuah.

“Rakyat mesti menyokong usaha pencegahan rasuah secara aktif dan memastikan pemimpin bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.

Shamsul Azri turut mengakui bahawa usaha memerangi rasuah tidak akan tercapai sekiranya dijalankan secara bersendirian dan memerlukan strategi yang beliau gelar sebagai ‘AI’, iaitu Associated dan Integrated.

“Associated bermaksud melaksanakan strategi mengikut pendekatan melibatkan seluruh masyarakat manakala Integrated menumpukan kepada konsep keseluruhan kerajaan,” katanya.

Shamsul Azri turut mengulangi keterbukaan Malaysia dalam menjalin kerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memastikan komitmen terhadap antirasuah negara diterjemah dalam bentuk tindakan nyata.

“Bagi memastikan bahawa rasuah tidak menghalang pembangunan dan rakyat menikmati hak asasi manusia sepenuhnya, kami berharap dapat bekerjasama dengan semua rakan kongsi dan komuniti antarabangsa khususnya PBB,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka menjadi hos bersama Regional Summer Academy, Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) di Kuala Lumpur tahun hadapan.

Sementara itu, mengetengahkan usaha Malaysia dalam memerangi rasuah, Shamsul Azri berkata kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif utama yang bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan operasi perniagaan di negara ini.

Antara inisiatif dikongsikan beliau ialah penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030, dan sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP).

Shamsul Azri berkata kerajaan yakin inisiatif-inisiatif berkenaan akan membantu meningkatkan kedudukan negara dalam CPI, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan sasaran untuk berada pada kedudukan 25 teratas dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan bulan lepas, Malaysia menduduki tangga ke-57 pada 2023 daripada 180 negara dalam CPI, berbanding ke-61 pada 2022. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan