BUKIT MERTAJAM, 18 Nov: Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang kerani wanita yang memandu kereta pada 13 November lalu.
Tertuduh, Marhizan Johari, 51, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan, dia yang memandu treler jenis Volvo memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian kepada pemandu kereta, Lew Ze Rou, 21.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kebun Sireh di sini kira-kira pukul 9.30 pagi pada 13 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kes itu mendapat liputan meluas di media sosial.
Zulfadly berkata, tertuduh juga dikatakan dilihat tidak menunjukkan rasa bersalah atas perbuatannya hingga sanggup menunjukkan isyarat peace ketika wajahnya dirakamkan pihak media ketika proses tahanan reman sebelum ini.
Majistret Mohd Harith kemudiannya tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Kes akan disebut semula pada 24 Januari tahun hadapan bagi laporan bedah siasat, perubatan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita maut, manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris, kejadian berlaku semasa treler tersebut sedang membelok ke kiri dari Jalan Bukit Tengah menuju Jalan Kebun Sireh.
Katanya, treler telah hilang kawalan sebelum terbalik dan menghempap kereta mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat. – TVS