KUCHING, 18 Nov: Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya terbabas ke dalam parit di hadapan SMK Tun Abang Haji Openg, Jalan Demak, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.20 pagi.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.28 pagi dengan kekuatan sembilan anggota diketuai PBK II (KUP) Irwandy.
Setibanya di tempat kejadian, mereka mendapati pemandu kenderaan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba.
“Mangsa, seorang lelaki ditemui dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan di bahagian kepala. Mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulans Bulan Sabit Merah untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi dijalankan untuk memastikan kawasan kejadian selamat dan terkawal sebelum pasukan bomba berangkat pulang pada jam 11.47 pagi.
Tiada operasi menyelamat dijalankan dalam insiden tersebut. -TVS