KUCHING, 18 Nov: Sebanyak RM95 juta diperuntukkan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kerja naik taraf tersebut termasuk pemasangan Sistem Pengendalian Bagasi Dalam Talian (ILBHS) baharu, pengubahsuaian Jambatan Penumpang Naik (PBB), pelaksanaan Sistem Panduan Docking Visual (VDGS) dan rehab apron.
“Ia termasuk penambahbaikan pada jalan masuk kecemasan dan papan tanda terminal untuk meningkatkan pematuhan dan piawaian keselamatan.
“Penambahbaikan operasi seperti pengubahsuaian penghawa dingin, pengecatan semula dan pengenalan kemudahan moden seperti pintu penghalang automatik serta lampu terminal LED juga dirancang untuk meningkatkan kecekapan penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Kim Shin menjelaskan, kementeriannya sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan LTAK baharu.
“Dengan kemudahan bertaraf dunia di LTAK, ia dapat menampung 15 juta penumpang setiap tahun,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, perkhidmatan bot ekspres antara Kapit dan Belaga beroperasi semula pada 16 November lepas.
“Operasi dilaksanakan setiap hari dengan jadual berselang-seli dari Kapit dan Belaga. Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 18,000 penduduk dari kampung sepanjang Sungai Rajang,” jelasnya.-TVS