KUCHING, 18 Nov: Laluan Kuning bakal diperkenalkan fasa seterusnya projek Transit Aliran Autonomi (ART) di bawah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, jajaran tersebut akan menghubungkan Moyan ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Ia bagi memenuhi keperluan perhubungan di kawasan yang kurang mempunyai perkhidmatan pengangkutan pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurutnya, kerja pembinaan untuk Depoh Rembus di Laluan Biru dan Laluan Merah dimulakan sejak awal tahun ini.
“Ia merangkumi kerja asas bangunan utama, pemindahan utiliti dan kerja struktur untuk stesen termasuk pembinaan jambatan ART baharu di Sungai Kuap,” ujarnya.
Mengenai perkembangan terkini KUTS, Kim Shin berkata, setakat Oktober tahun ini, kemajuan Fasa 1 mencapai 25.8 peratus merangkumi kerja reka bentuk dan kejuruteraan, sistem, pengambilan tanah serta pembinaan.
“Perbelanjaan modal telah mencecah RM840.47 juta dan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memajukan projek transformasi ini,” jelasnya.
Sementara itu menurutnya, tempoh 12 bulan diperlukan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan projek ART Bintulu – Samalaju.-TVS