KUCHING, 18 Nov: Penganjuran DBKU Criterium 3.0 dan DBKU Road Race 2.0 pada 16 dan 17 November berjaya menarik penyertaan pelumba dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Indonesia.
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerusi kenyataan memaklumkan acara ini sekali lagi mengukuhkan potensi Kuching sebagai destinasi sukan berbasikal berprestij di peringkat tempatan dan serantau.
Dalam kejohanan ini, beberapa pencapaian cemerlang telah direkodkan. Maximillian Fong Hung Chiat meraih kemenangan dalam kategori Criterium Men’s Open, sementara Mohd Nor Umardi Rosdi muncul juara dalam kategori Road Race Men’s Open.
Tugau Vaie Cycling Team memenangi kategori Men’s Master A dan Pro Apparel Sarawak berjaya mendominasi kategori Men’s Master B.
Majlis penutupan acara disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.
Beliau menegaskan bahawa kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi juga untuk menonjolkan Kuching sebagai destinasi utama dalam peta sukan berbasikal.
Acara tahunan ini menjadi bukti komitmen Kuching untuk mengangkat sukan berbasikal ke tahap lebih tinggi dan menjadikan bandar raya ini sebagai hab sukan bertaraf dunia.
Turut hadir, Pengarah DBKU, Mohamed Khaidir Abang dan Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak, Dato Benjamin Hasbie.