KUCHING, 18 Nov: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi sedang meneliti kemungkinan untuk menyemak semula Ordinan Air 1994, khususnya mengenai kadar penalti terhadap pihak ketiga yang merosakkan saluran paip di seluruh Sarawak.
Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi berkata kajian semula itu bertujuan untuk memastikan kadar penalti ditingkatkan setimpal dengan kerosakan, memandangkan orang awam adalah pihak yang paling terkesan akibat kerosakan saluran paip.
“Berdasarkan Ordinan Air 1994, penalti kepada mereka menyebabkan kerosakan saluran paip di lapangan begitu rendah sekali iaitu RM5,000.
“Ia jauh rendah berbanding tempat lain di Semenanjung dan Sabah yang mencecah RM50,000, manakala di Singapura SGD40,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Isnin.
Dalam ucapan penggulungannya, Julaihi mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan penubuhan entiti bekalan air tunggal yang dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat.
Ini melibatkan penggabungan agensi bekalan air seperti Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB), dan LAKU Management Sdn Bhd (LAKU). – TVS