KUCHING, 18 Nov: Enam pasukan akan mewakili Sarawak pada Kejohanan Tarian Naga dan Singa Peringkat Kebangsaan ke-12 2024 yang akan berlangsung dari 22 hingga 24 November ini di Kampar, Perak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau amat yakin dengan kemampuan pasukan berkenaan untuk mempamerkan prestasi cemerlang dan memastikan pingat buat Sarawak melalui acara yang disertai.
“Pasukan-pasukan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen untuk memupuk warisan sukan dan budaya Sarawak tetapi juga sebagai harapan bagi mereka untuk membawa pulang banyak pingat dan mungkin juga muncul sebagai juara keseluruhan pada kejohanan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bendera Sarawak kepada pasukan bertanding, Persatuan Seni Mempertahan Diri Cina Bahagian Kuching di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Bahagian Kuching, Chester Lim Hian Thoong berkata, pasukannya akan bersaing dalam empat acara utama iaitu Luminous Dragon Dance, Southern Lion Traditional, High Pole Southern Lion Dance, and Northern Lion Dance.
Katanya, beliau juga amat yakin dengan kehebatan pasukannya itu dan menyifatkannya sebagai pasukan paling cemerlang yang pernah diturunkan oleh persatuan itu bagi peringkat kebangsaan.
“Sebab itu, pihak kami menjemput Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk menyerahkan bendera, sebagai tanda sokongan beliau kepada kami.
“Kami bukan sahaja menyasarkan kejayaan dalam pertandingan tersebut tetapi juga berusaha untuk meningkatkan warisan budaya dan imej sukan Sarawak, selain melakukannya dengan penuh bersemangat dan memberikan impak yang berkekalan,” ujarnya.
Pasukan mewakili Sarawak itu nanti akan diketuai oleh Presiden Persatuan Wushu Singa Naga Sarawak, Matthew Lee King Choon. – TVS