KUALA LUMPUR, 18 Nov: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) berjaya mewujudkan sebanyak 15,068 peluang pekerjaan.
Timbalan Menterinya, Datuk R.Ramanan berkata keberkesanan program itu juga berjaya merekodkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM181.5 juta.
“Sejak mula dilaksanakan pada 2014 sehingga 31 Oktober lalu, seramai 8,543 usahawan telah menerima latihan dan bimbingan.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 8,312 peserta telah berjaya mendaftarkan perniagaan dan menerima geran perniagaan berjumlah RM125.8 juta,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (Perikatan Nasional- Sungai Besar) yang meminta KUSKOP menyatakan bilangan usahawan yang dilahirkan serta dilatih melalui TUBE oleh SME Corp sehingga tahun ini serta jumlah dana peruntukan yang telah diagihkan kepada usahawan ini.
Dewan Rakyat: Prestasi belanja projek pembangunan di Sabah, Sarawak rendah
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, SME Corp juga telah merancang pelaksanaan program TUBE pada 2025 bagi menggalakkan belia menceburi bidang perniagaan dengan jumlah dana sebanyak RM20 juta.
Beliau turut menjelaskan TUBE merupakan program yang bertujuan menggalakkan keusahawanan dalam kalangan belia Bumiputera yang berumur 18 sehingga 30 tahun serta memberi anjakan paradigma daripada pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan.
Bantuan yang disediakan kata beliau merangkumi pembangunan kapasiti berbentuk latihan dan juga geran permulaan perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM10,000 sehingga RM15,000 bergantung pada jenis perniagaan serta bimbingan dan khidmat nasihat perniagaan.
Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Mandzri Nasib (Barisan Nasional-Tenggara) mengenai perancangan KUSKOP untuk usahawan berusia 31 tahun dan ke atas, beliau memaklumkan pelbagai inisiatif yang disediakan termasuk Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) 2.0, Business Accelerator Programme 3.0 dan Business Accelerator Programme for Indian Small Business. -TVS.