KUALA LUMPUR, 18 Nov: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan bagi menjayakanTahun Melawat Malaysia 2026.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata setakat ini perbincangan dengan syarikat penerbangan tempatan termasuk Malaysia Airline, AirAsia dan Batik Air telah dilakukan.
Kata beliau, MOTAC turut melibatkan syarikat penerbangan antarabangsa dengan menggalakkan penerbangan secara charter.
“(Selain itu kerajaan) memberikan insentif menerusi Geran Sepadan Penerbangan Charter (GSPC) bagi menarik lebih ramai lagi pelancong antarabangsa ke Malaysia.
“MOTAC juga akan terus memperkasa promosi dan pemasaran kepada beberapa pasaran tumpuan khususnya pasaran Asia, ASEAN dan negara-negara Eropah serta telah mengenal pasti ‘second-tier cities’ di China dan India yang berpotensi untuk diberikan tumpuan dan akan dipromosikan secara agresif melalui misi khas galakan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Hassan Saad (Perikatan Nasional-Baling) yang meminta MOTAC menyatakan strategi jangka panjang dan pendek merancakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dewan Rakyat: Prestasi belanja projek pembangunan di Sabah, Sarawak rendah
Tambah King Sing, strategi lain termasuk melibatkan hebahan dan promosi adalah secara menyeluruh oleh Tourism Malaysia.
“(Kita juga akan) mempergiatkan pemasaran secara dalam talian melalui platform media sosial untuk meletakkan visibiliti Malaysia di mata para pelancong serta bekerjasama dengan para pempengaruh untuk mempromosikan destinasi pelancongan dan kebudayaan yang unik dan menarik,” katanya. -TVS.