KUALA LUMPUR, 18 Nov: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima sebanyak 52,836 panggilan daripada mangsa yang melibatkan jumlah kerugian RM302.1 juta setakat September 2024.
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata sejak Oktober 2022 hingga September 2024, jumlah keseluruhan panggilan yang diterima daripada orang ramai adalah sebanyak 131,036.
“Bagi jumlah akaun keldai pula terdapat sebanyak 103,557 (yang terlibat),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (Pakatan Harapan – Kepong) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan memperkenalkan undang-undang yang memberikan kuasa kepada polis atau bank untuk menyekat sementara urus niaga perbankan bagi individu yang menjadi sasaran penipuan.
Lip Eng juga ingin tahu jumlah mangsa yang membuat laporan polis dan kerugian dialami sejak tahun lepas.
Sementara itu, mengenai penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian, Kulasegaran berkata ia sebagai langah untuk menangani jenayah kewangan dalam talian.
Jelas beliau, jenayah kewangan dalam talian akan dikategorikan sebagai kandungan yang serius, dan akan memberi keutamaan kepada kandungan yang dilaporkan sebagai jenayah tersebut.
“Usaha tersebut adalah bagi memastikan persekitaran dalam talian adalah selamat buat masyakarat, terutama kanak-kanak.
“RUU baru ini akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan mana-mana kandungan yang dilaporkan sebagai kandungan memudaratkan,” katanya. -TVS.