KUCHING, 18 Nov: Sebanyak 58 projek pembangunan semula sekolah daif di Sarawak yang dibiayai melalui peruntukan sebanyak RM1 bilion telah berjaya disiapkan setakat November tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata inisiatif itu telah memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 pelajar yang kini menikmati akses kepada kemudahan pembelajaran berkualiti.
“Inisiatif yang paling signifikan di Sarawak adalah pembangunan semula secara menyeluruh bagi sekolah-sekolah yang daif melalui program bayaran pendahuluan RM1 bilion. Sehingga kini, kami telah berjaya menyiapkan 58 projek, memastikan kira-kira 10,000 pelajar mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, Sarawak telah membangunkan semula tiga sekolah melalui Projek Rakyat dan 28 sekolah lagi di bawah Projek NRDA, yang memberi manfaat kepada hampir 9,000 pelajar.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk meningkatkan kualiti infrastruktur pendidikan di Sarawak, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa pada 22 Jun 2024, Yang Amat Berhormat Premier Sarawak telah mengumumkan Projek Bayaran Pendahuluan RM100 juta untuk menangani sekolah-sekolah daif. Projek ini telah mendapat kelulusan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia,” katanya.
Projek ini menyasarkan 16 sekolah yang dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan Sarawak, JKR Sarawak, dan JPNS, fokus kepada sekolah yang dikategorikan sebagai tidak selamat (Skala 6 dan 7), dengan tempoh pelaksanaan 18 bulan.
Selain itu, Sarawak menerima tambahan RM50 juta pada Julai 2024 dari KPM untuk operasi, penyelenggaraan, dan naik taraf di 217 sekolah.
“Namun, saya ingin menegaskan bahawa RM50 juta yang disalurkan melalui KPM kepada JKR Sarawak bukan sebahagian daripada peruntukan RM100 juta. Skop kerja untuk dana RM50 juta ini hanya melibatkan penyelenggaraan dan naik taraf kecil, bukannya pembangunan semula sekolah daif,” tambahnya.
Beliau menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus memperbaiki infrastruktur sekolah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta kakitangan.
“Kami tidak akan berhenti berusaha sehingga semua isu berkaitan sekolah-sekolah daif dapat ditangani dengan berkesan, memastikan sekolah-sekolah kami menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran,” katanya. – TVS