KUCHING, 17 Nov: Persembahan tarian sempena upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi mendedahkan kepelbagaian budaya di Sarawak sekali gus menjadi platform menarik kehadiran pelancong pada Ahad pertama setiap bulan ke Dataran Sri Pertiwi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tarian etnik Kedayan, Lun Bawang, Bisaya dan Tagal yang dipersembahkan memaparkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Pagi ini dipersembahkan tarian kebudayaan daripada beberapa suku kaum dan ini sudah tentu akan menarik minat pelancong.
“Saya juga ingin melihat ia dilaksanakan dengan kerjasama pemain industri pelancongan seperti hotel agar pelancong tahu mengenai acara ini semasa mereka menginap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi Edisi Bulan November di Dataran Ibu Pertiwi di Kuching pada Ahad.
Tiang Bendera Ibu Pertiwi menyaksikan Sarawak melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk rekod tiang bendera tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara iaitu dengan ketinggian 99.4 meter.
Ibu Pertiwi membawa maksud kedaulatan kepada Sarawak selain menunjukkan kehebatan Sarawak dengan bendera berwarna merah, hitam dan kuning itu.-TVS