KUCHING, 17 Nov: Sarawak bakal menjadi tuan rumah tujuh kejohanan sukan tenis junior bertaraf antarabangsa bermula Mac sehingga Oktober tahun hadapan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara sukan yang menghimpunkan pemain tenis seluruh negara dikendalikan oleh Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA).
Menurutnya, empat kategori Kejohanan Tenis Junior Dunia turut mendapat dana berjumlah RM460,000 dari Persekutuan Tenis Antrabangsa (ITF) iaitu Junior Billie Jean King Cup bawah 16 tahun, Junior Davis Cup bawah 16 tahun, Pertandingan Kejuaraan Tenis Junior kategori lelaki dan kategori perempuan bermula 3 March dan berakhir pada 16 April 2025.
“Dengan adanya pertandingan (tenis) bertaraf antarabangsa, anda akan lihat penyertaan peserta dari seluruh dunia dan ini akan membantu meningkatkan sukan tenis dan menghasilkan lebih ramai peminat tenis (di Sarawak).
“Penganjuran pertandingan kelayakan ini juga akan meningkatkan industri hospitaliti dan pelancongan di Sarawak. Fasiliti dan kemudahan tenis yang terdapat di Sarawak antara faktor ITF memilih negeri ini untuk penganjuran tujuh kejohanan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya Kejohanan Sarawak Inter-State Club Tenis Piala YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di padang tenis SLTA pada Ahad.
Selepas penganjuran empat kejohanan dunia junior itu, bakal berlangsung pula Kejohanan Remaja Dunia ITF J300 bagi merebut Piala Premier Sarawak Edisi ke-43 dari 13 hingga 18 Oktober sebelum disusuli Kejohanan Remaja Dunia ITF J100 bagi merebut Piala Premier Sarawak Edisi ke-44 pada 2 hingga 7 September nanti.
Ini akan disusuli dengan Kejohanan Tenis Remaja Asia (ATF) bawah 14 tahun edisi ke-18 yang bakal berlangsung pada 13 hingga 18 Oktober.
Hadir sama dalam sidang media tersebut, Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew.-TVS