MIRI, 17 Nov: Buat pertama kalinya, Pesta Gelimeh Berawan Sarawak 2024 diadakan di Long Jegan, Tinjar, Baram, membawa kegembiraan dan kebanggaan kepada masyarakat setempat.
Gani Jawi, 67, seorang penduduk berbangsa Iban yang telah lama menetap di sini, menyambut baik penganjuran acara itu di kampungnya, menyatakan bahawa usaha mengekalkan tradisi ini amat penting sebagai warisan untuk generasi muda.
Gani turut menyatakan harapan agar acara ini dapat diadakan setiap tahun, dengan syarat peruntukan mencukupi.
“Jika diadakan di rumah panjang masyarakat Berawan atau komuniti lain, lebih meriah lagi.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menambah peruntukan agar program seperti ini dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan seperti Long Jegan,” katanya.
Gani turut mencadangkan agar promosi kraftangan diperluaskan untuk mengetengahkan hasil seni masyarakat Berawan kepada khalayak luar.
George Tangga, 58, seorang lagi penduduk asal Long Jegan, turut menyuarakan kebanggaannya terhadap penganjuran Pesta Gelimeh.
“Pesta ini membangkitkan rasa bangga sebagai komuniti Berawan. Ini kali pertama diadakan di kampung kami dan sambutan dari penduduk dan tetamu amat menggalakkan,” ujarnya.
Namun, George turut mengharapkan bantuan daripada pihak berwajib untuk menambahbaik kemudahan asas di kampung mereka.
“Sistem bekalan air dan elektrik kami masih kurang sempurna. Paip air sering tersumbat ketika hujan lebat, dan bekalan elektrik tidak stabil.
“Kami berharap pihak berwajib dapat mempercepatkan usaha untuk menyelesaikan isu-isu ini,” tambahnya lagi.
George dan Gani turut menyatakan penghargaan kepada pemimpin tempatan atas sokongan mereka dalam penganjuran Pesta Gelimeh kali ini.
Masyarakat Berawan di Long Jegan berharap Pesta Gelimeh ini dapat dijadikan acara tahunan bagi mengekalkan budaya mereka serta memperkenalkan komuniti mereka kepada orang luar. – TVS