SANDAKAN, 17 Nov: Seorang pesakit angin ahmar rentung manakala adiknya melecur dalam kejadian kebakaran di Jalan Batu Sapi Karamunting di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Jailan Jaimin, 35, ditemui rentung oleh pasukan bomba di ruang tamu rumah berkenaan selepas api berjaya dipadamkan.
Menurutnya, adik lelaki mangsa berusia 25 tahun turut cedera melecur di badan selepas sempat keluar menyelamatkan diri bersama beberapa ahli keluarga lain.
“Hasil siasatan awal, ketika kejadian mangsa bersama adiknya sedang tidur di dalam rumah. Adik mangsa yang menyedari kebakaran itu cuba menyelamatkan mangsa yang berada di ruang tamu namun gagal kerana api merebak terlalu cepat.
“Adik mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri namun mangsa gagal diselamatkan. Dalam kejadian itu, sebuah lori dan dua kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran rumah berkenaan turut musnah terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke bahagian Forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.
Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui seorang mangsa rentung di kawasan ruang tamu rumah.
“Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa dan diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Severinus berkata, setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – TVS