MARUDI, 17 Nov: Kesibukan tugas harian tidak menghalang warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi dan ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) mengadakan lawatan kebajikan ke atas pegawai dan anggota.
Lawatan kebajikan tersebut disertai Ketua Bahagian Pengurusan Daerah IPD Marudi, ASP Mohd Kamaruddin Jaafar yang mewakili Ketua Polis Daerah Marudi bersama-sama anggota dan pegawai awam IPD Marudi.
PERKEP IPD Marudi pula diketuai oleh pengerusinya, Asmawati Alias beserta rombongan yang terdiri daripada 12 ahli.
Mereka menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga pegawai awam yang sakit dan ahli keluarga PRP yang baru menimang cahaya mata pertama bertempat di kediaman pegawai awam dan anggota tersebut di Flat Bunga Mawar IPD Marudi.
Asmawati berkata, lawatan tersebut mencerminkan keprihatinan pucuk pimpinan dengan mengambil berat tentang hal berkaitan kebajikan warga kerja PDRM IPD Marudi dan keluarga ahli PERKEP Marudi.
“Disamping itu juga, kita turut memberi sokongan moral dan kata-kata semangat agar ahli keluarga yang sakit cepat sembuh dan cergas melakukan tugas harian,” katanya.-TVS