KOTA SAMARAHAN, 17 Nov: Meskipun telah mencapai usia emas, penyanyi tersohor tanah air Datuk Jamal Abdillah tetap bertenaga dalam memberikan persembahan mantap dengan lantunan vokalnya yang masih padu dan memukau.
Ketekunan dan dedikasinya dalam seni suara tidak hanya mencerminkan penguasaan teknikal tetapi juga semangat yang terus membara untuk menghibur peminat setianya.
Penampilan dua nama besar, Jamal Abdillah dan Wany Hasrita dalam Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Sounds of Malaysia di UNIMAS menyuntik kehangatan dan emosi, memberikan kenangan manis yang pasti tersemat di hati penonton.
“Alhamdulillah, syukur kerana tiada apa-apa yang berlaku pada malam ini. Suara saya pun baik, walaupun sedikit serak, tapi yang penting saya masih dapat menyanyi dengan penuh semangat.
“Lebih seronok lagi, saya dapat lihat penonton pun turut menikmati persembahan, jadi saya sangat puas hati dengan pengalaman malam ini. Terima kasih kepada semua yang hadir dan menyokong,” katanya ketika ditemui selepas konsert baru-baru ini.
Untuk kekal bertenaga dalam industri katanya, amalan gaya hidup amat penting bukan sekadar dengan tujuan menyanyi tetapi rutin harian.
Sementara itu, Wany Hasrita yang tampil buat pertama kalinya di UNIMAS turut berbesar hati dapat berganding dengan Orkestra Tradisional Malaysia, menjadikan pengalaman tersebut satu kenangan istimewa dalam kerjayanya.
“Sudah tentunya saya sangat berbesar hati kerana berpeluang untuk berduet lagi bersama beliau (Jamal) yang bagi saya, beliau adalah seorang legenda dalam industri muzik,” ujarnya.
Konsert OTM menampilkan gabungan irama klasik yang menyajikan penonton dengan lagu-lagu popular seperti Menahan Rindu dan Belenggu Rindu sekali gus mencipta malam istimewa untuk warga UNIMAS dan menonjolkan keindahan muzik tradisional Malaysia kepada generasi muda.
Turut hadir , Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato Shaharuddin Abu Sohot, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hatta Rasit.-TVS