LUNDU, 16 Nov: Keindahan Pantai Pugu, Lundu dlihat berpotensi dalam menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini kebanyakan kawasan di Pantai Pugu adalah hak milik persendirian yang mana mana beberapa aktiviti perlancongan sudah dibangunkan.
Bagaimanapun menurutnya, beberapa penambahbaikan infrastruktur perlu dilakukan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi tersebut yang merupakan lingkaran destinasi pelancongan di Sarawak
“Kita dapat lihat potensi tempat ini dan ia merupakan salah satu dari lingkaran kawasan pelancongan di Sarawak
“Kawasan Parlimen Santubong sememangnya merupakan lingkaran kawasan pelancongan. Kita mempunyai banyak lingkaran kawasan pelancong namun ia berubah dari semasa ke semasa disebabkan pembangunan yang berlaku di negeri ini
“Cuma dari sudut infrastruktur, nanti kita akan lihat apa yang mereka (pengusaha) perlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai potensi Pantai Pugu.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, penganjuran pelbagai program dan aktiviti juga merupakan antara usaha menarik kehadiran pengunjung ke pantai tersebut.-TVS