KUCHING, 17 Nov: Melahirkan masyarakat yang cakna dan celik kewangan menjadi naratif utama penganjuran Karnival Celik Kewangan (KCK) Sarawak 2024 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), pemain industri kewangan dan agensi kerajaan di negeri ini.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, KCK Sarawak 2024 diharap dapat memberikan impak positif kepada masyarakat mengenai pengurusan kewangan bijak menerusi pelbagai aktiviti serta program pendidikan kewangan yang antara lain bertindak sebagai medium untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan mereka.
“Saya berharap anda semua dapat memanfaatkan inisiatif kewangan yang dijalankan ini dan menguar-uarkan pada keluarga dan rakan-rakan betapa pentingnya mengurus wang dengan berhemah, mengelakkan hutang berlebihan dan mendapat tips pelaburan secara bijak dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan program Karnival Celik Kewangan (KCK) Sarawak 2024 di Pusat Beli-Belah Viva City di Kuching pada Ahad.
Menurutnya, penganjuran karnival tersebut juga selari dengan agenda memperkasakan segmen ekonomi digital dan keterangkuman kewangan, selari dengan perkembangan ekonomi baharu yang lebih menjurus kepada perkhidmatan kewangan digital serta konsep komuniti tanpa tunai.
Lebih 20,000 pengunjung hadir di KCK Sarawak 2024 untuk memperoleh informasi serta trend terkini dalam pengurusan kewangan, selain meningkatkan pengetahuan tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna kewangan.
Karnival Celik Kewangan Sarawak 2024 yang bermula sejak 15 November lalu merupakan sebahagian daripada intipati pengisian program Bulan Literasi Kewangan 2024 yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia bersama Rangkaian Pendidikan Kewangan pada 1 Oktober yang lalu dengan mengangkat tema ‘Bijak Wang, Hidup Sejahtera’.-TVS