MUKAH, 16 Nov: Sarawak kini antara negeri yang ke hadapan dalam kelestarian alam sekitar di Malaysia, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Ahli Parlimen Mukah itu menjelaskan antara faktornya adalah penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui penerokaan ekonomi baharu oleh Sarawak yang dapat mengurangkan pencemaran kepada alam sekitar.
“Jadi kita mesti menyokong inisiatif Kerajaan Sarawak ini dengan memainkan peranan, sebagai individu laksanakan apa yang terbaik.
“Sebagai agensi, perbadanan di bawah kerajaan kita juga cuba memberikan inisiatif, menggalakkan dan melaksanakan yang terbaik supaya dalam jangka masa panjang ia bukan sahaja untuk kita tapi demi kepentingan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Daerah Mukah 2024 di tapak Pesta Kaul, Pantai Kala Dana Mukah pada Sabtu.
Menurutnya lagi, semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan kelestarian alam sekitar demi kepentingan manusia dan alam semula jadi.
“Generasi baharu juga harus dididik agar mengubah fikiran untuk menerapkan kepentingan SDG dalam kehidupan seharian.
“Pencemaran bukan hanya memberikan kesan buruk kepada alam sekitar bahkan kepada kesihatan manusia dan sumber sihat untuk generasi akan datang,” tegasnya.
Dalam pada itu, Hanifah berkata, penganjuran Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Daerah Mukah 2024 adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang bersih, hijau dan sihat.
“Selain memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, program ini juga memperkasakan sosioekonomi dengan pemberian bantuan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan yang mampan.
“Program seperti ini adalah contoh kepada rangka utama Matlamat Pembangunan Mampan. Apa yang kita laksanakan hari ini menyentuh kepada empat indikator SDG iaitu  tindakan terhadap iklim, kehidupan di bawah air, kehidupan di darat) dan kerjasama demi matlamat,” jelasnya.
Program anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) itu turut dihadiri oleh 400 peserta daripada UiTM Mukah, Politeknik Mukah, CENTEXS dan beberapa sekolah menengah dan sekolah rendah di kawasan Mukah.
Terdahulu, bersempena penganjuran berkaitan, kerja-kerja pembersihan pantai dijalankan seawal jam 9 pagi dan kemudian diikuti aktiviti penanaman 100 batang pokok bersama Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
Dalam majlis sama, sebanyak 30 buah sekolah terdiri daripada 200 orang pelajar di daerah Mukah dan Dalat menerima sumbangan “Back To School” daripada Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) serta Majlis Penyerahan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada Press Metal Sdn Bhd. – TVS