ASAJAYA, 16 Nov: Seramai sembilan penghuni hilang tempat tinggal selepas sebuah rumah terbakar di Kampung Jemukan Hulu di sini, hari ini.
Komander Operasi, Noraini Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 5.40 petang dengan menggerakkan 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dibantu BBP Kota Samarahan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis struktur separuh kekal dua tingkat telah terbakar 90 peratus.
“Bagaimanapun, kesemua penghuni selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan dua aliran dua nozel 400 kaki, satu aliran salur bantu mula dan sumber air terbuka.
“Operasi pemadaman kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 7.28 malam, punca dan taksiran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.-TVS