LUNDU, 16 Nov: Masalah kepadatan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu dan SMK Padawan dapat diselesaikan dengan penyerahan bangunan tambahan di dua sekolah berkenaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kedua-dua projek itu yang dilaksana menggunakan peruntukan RM36.2 juta membabitkan pembinaan gantian 12 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di SMK Lundu dan bangunan tambahan di SMK Padawan.
Menurutnya, pembinaan bagi gantian 12 bilik darjah di SMK Lundu bermula pada 25 April 2022 dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 5 September lalu manakala pembinaan bangunan tambahan SMK Padawan telah memulakan pembinaannya pada 17 Mac 2022 dan siap sepenuhnya pada 4 Oktober lalu.
“Pembinaan kedua-dua projek itu dilakukan mengikut jadual ditetapkan dan pelaksanaan adalah di bawah kos ditetapkan. Bukan sekadar pembinaan sekolah sahaja dan pada bulan lepas kita telah serahkan Komplek Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang juga siap lebih awal dari jadual.
“Komitmen ini menunjukkan kemampuan di Sarawak dan saya berterima kasih kepada kontraktor yang telah mnjalankan tugas dan menggalas tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Dua Projek Siap Serentak SMK Lundu dan SMK Padawan di Lundu hari ini.
Beliau berkata, pemilihan kontraktor yang bertauliah dan ketat menjadi antara faktor kepada kejayaan pelaksanaan projek berkenaan siap mendahului jadualnya.
Katanya, walaupun mengakui terdapat kontraktor yang bermasalah namun itu tidak menghalang bagi setiap projek yang dilaksana dapat disiapkan mengikut jadualnya.
Malah, beliau turut memberi jaminan akan ada beberapa projek sekolah yang telah siap awal daripada jadual bakal diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dalam tempoh terdekat.- TVS