SARIKEI, 16 Nov: Lebih 600 peserta memeriahkan program Fun Walk bersempena sambutan Hari Rendah Karbon anjuran Majlis Daerah Sarikei hari ini.
Peserta melalui beberapa laluan sejauh tiga kilometer dari Jalan Sentral, Wharf, Repok, Sang Lee, Getah, Bersatu dan Nyelong.
Upacara pelepasan peserta disempurnakan oleh Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Menurut Tiong Sii, program tersebut merupakan inisiatif penting untuk menyedarkan masyarakat mengenai peranan mereka bagi mencapai visi Strategi Pascar COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Seperti yang kita ketahui, perubahan iklim dan peningkatan pelepasan karbon adalah isu global yang memberi kesan besar kepada alam sekitar dan kehidupan.
“Menerusi PCDS 20230, kerajaan mahu mengurangkan pelepasan karbon melalui pendekatan mesra alam sekali gus memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Kita mahu menggalakkan setiap lapisan masyarakat termasuk pelajar terlibat dalam amalan hijau seperti penjimatan tenaga, penggunaan bahan kitar semula dan gaya hidup sihat,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Badjuri.
Beliau berkata, PCDS 2030 yang diperkenalkan merupakan pelan jangka masa panjang untuk memastikan pembangunan lebih mampan dan inklusif selain memastikan Sarawak dapat mengorak langkah ke arah ekonomi hijau serta lestari.-TVS