KUCHING, 16 Nov: Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS 2024 diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemain muda yang berbakat untuk mengemudi serta mengangkat arena sukan bola sepak negeri dan negara ke peringkat yang lebih tinggi.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) ini, perlu dicontohi oleh badan-badan korporat yang lain sebagai tanda usaha dan komitmen untuk memperkasakan segmen sukan di negeri ini, selain menggilap potensi-potensi bintang-bintang baharu yang akan mewarnai serta mencorak perkembangan dan legasi sukan bola sepak tanah air.
“Hari ini, bermula pada detik ini, mindset atau pola fikiran anak-anak kita bukan hanya memfokuskan kepada keinginan untuk mewakili akademinya, daerahnya mahupun Sarawak atau Kuching City FC sahaja, tetapi pola fikiran ini haruslah lebih tinggi, yakni beraksi sebagai seorang pemain bola sepak di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kuching merangkap Pengerusi Bersama Kejohanan berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS 2024 di Kuching pada Sabtu.
Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu pula menyifatkan inisiatif penganjuran kejohanan bola sepak ini dilihat sebagai wadah penerapan nilai-nilai murni antara lainnya termasuklah meningkatkan disiplin diri, semangat setiakawan dan berpasukan, tanggungjawab serta pembinaan karakter positif di kalangan anak-anak muda di Sarawak.
Tambahnya, kejohanan ini turut menjadi wadah bagi PETRONAS dan rakan-rakan strategik untuk memperkasakan sukan bola sepak di negeri ini.
“Kerjasama antara organisasi adalah sangat penting untuk memperkukuh ekosistem bola sepak di Sarawak. Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran antara badan korporat, agensi kerajaan, pihak berkuasa dan persatuan, mereka dapat membangunkan program pembangunan belia yang menyeluruh, yang bukan hanya tertumpu kepada penganjuran kejohanan semata-mata,” katanya.
Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS 2024 di Kuching berlangsung selama dua bulan bermula 14 September yang lalu dan menutup tirainya hari ini.
Kejohanan ini telah disertai oleh lebih 1,000 pemain berusia antara 10 hingga 16 tahun yang mewakili 18 akademi bola sepak dan sekolah dari sekitar Kuching, Samarahan dan Sri Aman.
Kelab Akademi Bola Sepak Tambirat menjuarai kategori umur bawah 10 tahun, sementara kategori umur bawah 12 tahun diungguli oleh pasukan Kelab Bola Sepak PFA Odin.
Bagi kategori umur bawah 14 tahun pula, pasukan Kelab Bola Sepak KDH Kuching meraih tempat teratas dalam kategori itu dan juara bagi kategori umur bawah 16 tahun disandang oleh pasukan Kelab Bola Sepak PFA Odin.
Hadir sama Naib Presiden Perhubungan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Nooruddin Abdullah @ Liew Sze Hoon, Pengurus Besar Kanan, Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Khairuddin M Jaafar, Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi Ali Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Ketua Pegawai Media TVS, Sardon Zainal.
Selain PETRONAS serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Sarawak, kejohanan ini turut dijayakan oleh rakan strategik rasmi termasuklah Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Kelab Bola Sepak Kuching City FC (KCFC), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan rakan media rasmi TVS.-TVS