LIMBANG,16 Nov: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau institusi di peringkat kampung berperanan penting membuat perubahan dalam merealisasikan misi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melahirkan masyarakat luar bandar sejahtera.
Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal berkata, JKKK juga berperanan meningkatkan kapasiti institusi peringkat kampung dalam mengeksploitasi sumber serta kaedah pengurusan, pentadbiran dan pembangunan kampung dengan mewujudkan institusi yang berdikari dan proaktif kepada perubahan.
Katanya, pelaksanaan program Program Pementoran Desa dapat memberi kesan positif yang berpanjangan ke arah pentadbiran dan pembangunan di peringkat kampung terlibat melalui hubungan, kerjasama dan kesepakatan antara mentor dan menti.
“Melalui Program Pementoran Desa ini, ia mengukuhkan tadbir urus dan pengurusan peringkat kampung dengan perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman antara JKKK.
“Program ini merupakan medan pemindahan pengalaman serta pengetahuan dengan memberi pendedahan, menggalakkan perkongsian maklumat serta kepakaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pementoran Desa KKDW Tahun 2024 di Dewan Bunga Raya, Limbang hari ini.
Sulaiman juga optimis program itu mampu memberi nilai tambah kepada fungsi JKKK iaitu mendaya upaya dan mempercepatkan proses pembangunan luar bandar secara inklusif dengan kerjasama pelbagai pihak (sektor awam dan swasta).
Katanya, pembangunan kampung yang ideal direalisasikan melalui inisiatif pementoran bagi membolehkan lebih banyak kampung berprestasi tinggi diwujudkan secara konsisten ke arah meningkatkan kesejahteraan ekonomi, sosial dan budaya masyarakat desa.
Seramai 52 orang peserta terlibat pada program itu yang mana mentor adalah Kampung Pabahanan, menti pula masing-masing adalah Kampung Limpasong, Kampung Meritam dan Kampung Limpaku Pinang.-TVS.