KUCHING, 16 Nov: Hospital Petra Jaya dijangka beroperasi pada suku terakhir tahun depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, setakat ini kemajuan pembinaan hospital tersebut sudah melebihi 80 peratus.
“Projek ini sudah lama tergendala dan kita mahu kali ini ia berjalan lancar. Kita akan pastikan projek tidak tertunda dan tiada kelewatan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Kembara Madani Afiat di Dataran Perayaan, di sini, hari ini
Pembinaan Hospital Petra Jaya bermula 10 tahun lepas dengan kos RM610 juta.
Mengulas mengenai kualiti kain pakaian seragam jururawat dibekalkan sebuah syarikat yang didakwa kurang baik, Dzulkefly menjelaskan, isu tersebut didakwa tidak mematuhi spesifikasi akan didedahkan selepas keputusan disahkan Jabatan Kimia dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
“Segala dakwaan sedang disiasat dan keputusan muktamad dan tuntas akan disiarkan segera,” ujarnya.
Tambahnya, hasil analisis akan dibentangkan kepada pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah keputusan rasmi disahkan oleh jabatan berkaitan.
“Kedua-dua jabatan telah melakukan ujian analisis sampel dan kita akan ambil pendirian (keputusan) dan disampaikan menerusi sidang media atau kenyataan media selepas dapatan kajian dikeluarkan.
“Keputusan mutakhir belum ada pada saya atau pengurusan tertinggi KKM di Putrajaya dan buat masa ini saya tidak mahu komen lanjut kerana tidak mahu buat keputusan tergesa-gesa … saya harus bertanggungjawab sebagai seorang menteri,” jelasnya.
Sebelum ini, satu aduan mengenai kualiti kain pakaian seragam jururawat dibekalkan sebuah syarikat kurang baik sedangkan menerima suntikan bernilai lebih RM98.3 juta.
Susulan itu, KKM menghantar sampel kain yang dikatakan tidak mematuhi spesifikasi kepada pihak berkaitan untuk dianalisis dan sekiranya tidak mematuhi spesifikasi, syarikat terbabit boleh dikenakan tindakan selaras kontrak yang sedang berkuat kuasa.-TVS