BINTULU, 16 Nov: Seramai 17 penghuni hilang tempat tinggal selepas dua buah kediaman di Batu 22, Jalan Bintulu-Miri di sini, terbakar hari ini.
Komander Operasi, Shukri Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 4.08 petang dengan menggerakkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis struktur tidak kekal telah terbakar keseluruhan. Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan satu aliran 300 kaki, satu breeching dan dua pancutan nozzle sumber air terbuka.
“Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 6.58 petang, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.-TVS