PUTRAJAYA, 15 Nov: Video tular berkaitan kenyataan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan menyokong Israel dalam satu wawancara dengan media antarabangsa telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya membuat kesimpulan berkenaan selepas meneliti keseluruhan video itu.
“Perdana Menteri sebelum ini telah bertegas dengan Setiausaha Kerajaan Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkaitan pendirian Malaysia.
“(Namun ada pihak tertentu yang) menyunting video (asli dan menjadikan) seperti itu.Saya sifatkan apa pun kita (kerajaan) lakukan, mereka tetap tidak akan gembira (berpuas hati),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Hari ini beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis pro Palestin mengecam kenyataan Anwar yang didakwa mempertahankan kewujudan Israel sebagai sebuah negara.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana portal berita yang melaporkan perkara tidak sahih lebih-lebih lagi mendakwa kerajaan mengubah pendirian dengan mengiktiraf Israel.
“Saya akan minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneliti perkara ini dan kita akan ambil tindakan undang-undang.
“Saya tegaskan kerajaan tidak berhasrat untuk menghalang media untuk membuat laporan tetapi ia perlu dilakukan secara berhati-hati,” jelasnya. – TVS