KUCHING, 15 Nov: Kerajaan Sarawak perlu menyalurkan lebih banyak sumber kewangan kepada pihak berkuasa tempatan agar berupaya memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii berkata, Majlis Bandaraya Miri (MBM) menghadapi kekangan kewangan yang serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, pendapatan daripada kadar penilaian MBM tidak meningkat sejak 2004 dengan hanya kenaikan minimal sebanyak 0.5 peratus pada tahun 2024.
“Ini adalah kenaikan yang minimal selang masa 20 tahun.
“Pada masa sama, perbelanjaan Majlis Bandaraya Miri meningkat dengan ketara disebabkan peningkatan kos bahan, perkhidmatan dan gaji,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.
Adam Yii yang juga Datuk Bandar Miri berkata, Majlis Bandaraya Miri juga giat mempromosikan Miri sebagai destinasi rekreasi dan riadah dengan menganjurkan lebih banyak acara dan aktiviti.
“Ini adalah untuk menjadikan Miri lebih meriah dan bertenaga dari segi sosial dan ekonomi. Sejajar dengan visi Bandar Miri untuk menjadi Bandar Peranginan Antarabangsa Hijau, Pintar, dan Paling Dihuni menjelang 2030.
“Semua acara dan aktiviti ini memerlukan kos dari segi kewangan dan sumber lain bagi Majlis Bandaraya Miri,” ujarnya.
Tambahnya, kos pengurusan sisa kumbahan di Miri juga meningkat seiring dengan peningkatan populasi.
Beliau memberitahu, perkhidmatan penyedutan tangki septik yang wajib menelan belanja tambahan sebanyak RM5 ke RM6 juta setahun.
Selain itu tambahnya, Majlis Bandaraya Miri juga telah menaik taraf Bandar Miri dari segi pelbagai kemudahan dan infrastruktur.
“Oleh itu, saya menyeru kepada Kerajaan Sarawak agar mempertimbangkan untuk menyalurkan lebih banyak sumber kepada majlis tempatan supaya mereka berupaya untuk terus memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat,” jelasnya.-TVS