KOTA KINABALU, 15 Nov: Kerajaan Sabah hari ini membentangkan Belanjawan Sabah 2025 berjumlah RM6.42 bilion yang juga tertinggi dalam sejarah, dengan anggaran lebihan RM24.08 juta.
Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun membentangkan belanjawan bertemakan “Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera” pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.
Beliau berkata kerajaan negeri Sabah mengunjurkan hasil sebanyak RM6.44 bilion tahun depan yang menjadikannya belanjawan lebihan.
Selain itu, sebanyak RM5.44 bilion diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan mengurus manakala RM980 juta untuk caruman Kumpulan Wang Pembangunan.
“Peruntukan bagi perbelanjaan mengurus meningkat sebanyak RM719.90 juta pada tahun depan berbanding anggaran asal pada 2024 sebanyak RM5.701 bilion bagi menampung perbelanjaan emolumen, perbelanjaan berulang dan perbelanjaan khas.
“Kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat berkait rapat kerana tahap kemajuan ekonomi akan mempengaruhi taraf hidup rakyat. Menerusi strategi mengagihkan peruntukan kepada sektor produktif di bawah belanjawan ini, kerajaan yakin ekonomi negeri akan bertambah kukuh,” katanya.
Masidi turut mengingatkan semua pihak untuk berbelanja mengikut keupayaan berasaskan kutipan sumber hasil, termasuk mengutamakan pengurusan cekap dan mengamalkan disiplin kewangan tinggi.
Pendekatan itu, katanya, selaras dengan aspirasi kerajaan Sabah untuk memantapkan kedudukan kewangan di samping menangani masalah ketirisan dan pembaziran hasil.
Menyentuh unjuran hasil, beliau berkata RM2.74 bilion dijangka disumbangkan menerusi cukai jualan negeri; hasil bukan cukai yang turut merangkumi royalti petroleum (RM2.55 bilion) dan terimaan bukan hasil (RM1.15 bilion).
“Dalam menghadapi arus globalisasi dan kebergantungan kepada komoditi minyak mentah dan minyak sawit mentah, terdapat risiko yang perlu dihadapi oleh kerajaan negeri seperti penurunan harga terutama minyak mentah.
“Ini dipengaruhi oleh faktor luar seperti perubahan geopolitik dunia, krisis ekonomi serta perubahan permintaan di pasaran global. Oleh itu, anggaran hasil negeri bagi 2025 dirangka dengan mengambil kira pendekatan separa konservatif agar kedudukan kewangan kerajaan Sabah kekal stabil,” katanya.
Belanjawan Sabah 2025 juga menyaksikan sebanyak RM1.29 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan merangkumi negeri RM976.50 juta dan RM322.97 juta menerusi pinjaman Persekutuan dan bayaran balik Persekutuan.
Peruntukan pembangunan negeri itu akan diagih mengikut sektor dengan RM558.81 juta atau 57 peratus bagi sektor ekonomi; sektor sosial (RM395.13 juta atau 41 peratus) manakala sektor pentadbiran am sebanyak RM22.55 juta atau dua peratus, katanya.
Masidi berkata berkata peruntukan sebanyak RM903.91 juta pula bagi perbelanjaan emolumen membiayai gaji penjawat awam negeri dengan kenaikan RM95.85 juta atau 12 peratus berbanding belanjawan tahun ini berikutan kenaikan gaji tahunan, pelarasan kenaikan gaji lapan peratus.
“Ini selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa pada 1 Disember ini dan pertambahan pelantikan baharu penjawat awam negeri.
“Sebanyak RM2.27 bilion dicadangkan untuk perbelanjaan berulang, termasuk bagi menampung biasiswa kerajaan Sabah dan penyenggaraan jalan raya manakala perbelanjaan khas RM3.247 bilion untuk antaranya menangani isu kemudahan infrastruktur termasuk memulihkan bekalan air dan pelbagai program keterjaminan makanan,” katanya.
Kerajaan Sabah juga bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000 kepada semua anggota perkhidmatan awam Sabah, termasuk berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian.
“Bayaran itu melibatkan seramai 18,949 orang dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada Januari 2025,” katanya.
Perkara itu disifatkan beliau sebagai berita gembira untuk penjawat awam Sabah yang juga nadi utama jentera dan pentadbir perkhidmatan kerajaan negeri itu.
Dalam pada itu, Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan itu pada 18 November ini.