Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Datuk Ong Kim Swee pada sidang media majlis Perasmian Seminar Kejurulatihan Bola Sepak Antarabangsa di sebuah hotel hari ini. Foto Bernama

PJBM cadang penolong ketua jurulatih Liga Super wajib miliki lesen Pro A

ByBernama

PETALING JAYA, 15 Nov: Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) mencadangkan supaya Lesen Pro A (Pro-Diploma AFC) diwajibkan untuk layak memegang jawatan penolong ketua jurulatih dalam saingan Liga Super bermula musim depan.

Presiden PJBM Datuk Ong Kim Swee berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan akan diputuskan pada mesyuarat Exco FAM akan datang.

“Perkara ini sudah di tahap terakhir…mesyuarat Exco akan menentukan dan jika itu berlaku, ini bermakna baik untuk jurulatih yang mempunyai lesen pro (Lesen Pro A).

“Tetapi pada masa sama, tidak semestinya mereka (kelab) akan ambil jurulatih tempatan (yang ada Lesen Pro A). Jadi kita cuba melakukan yang terbaik, tetapi terpulang kepada kelab masing-masing,” katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Kejurulatihan Bola Sepak Antarabangsa di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram merasmikan seminar itu yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Sebagai rekod, hanya ketua jurulatih Liga Super diwajibkan memiliki Lesen Pro A mulai musim 2020.

Sementara itu, Seminar Kejurulatihan Bola Sepak Antarabangsa anjuran PJBM itu berjaya menarik minat seramai 121 jurulatih daripada pelbagai latar belakang.

Kim Swee yang juga pengendali Sabah FC berkata ia merupakan antara perancangan PJBM untuk memastikan ahlinya diberikan input-input terkini termasuk daripada pengarah teknikal dari Jepun yang bakal memberikan taklimat tentang program-program yang dikendalikannya.

“Jadi ini satu langkah untuk memberi maklumat terutamanya kepada jurulatih kita baik yang terlibat dengan pasukan remaja dan pasukan senior kerana penting untuk kita mempelajari sesuatu apabila setiap negara mempunyai pendekatan yang berbeza.

“Saya harap simposium ini akan diteruskan pada masa akan datang dan jika kita mendapat banyak sokongan, sudah tentu pada masa akan datang kita akan menjemput penceramah-penceramah daripada Eropah untuk berkongsi perancangan, terutama di peringkat lebih tinggi,” kata jurulatih berusia 53 tahun itu.

Dalam perkembangan berasingan, Kim Swee menepis dakwaan PJBM kurang aktif serta tidak berfungsi sepatutnya seperti dibangkitkan bekas pemimpin tertinggi persatuan itu baru-baru ini dan beliau juga memaklumkan PJBM tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana jurulatih yang berdepan masalah setakat ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan