KUCHING, 15 Nov: Jumlah besar diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan menerusi Belanjawan Sarawak 2025 bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur Bumi Kenyalang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata peruntukan RM10.9 bilion itu diyakini mampu meningkatkan taraf kehidupan rakyat di seluruh Sarawak khasnya pembangunan luar bandar berjumlah RM6.8 bilion.
“Jumlah RM10.9 bilion, peruntukan perbelanjaan pembangunan terbesar yang pernah ada adalah bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur, kemudahan dan ketersambungan untuk meningkatkan kehidupan rakyat di setiap sudut di Sarawak.
“Saya memuji komitmen kerajaan Sarawak untuk mengekalkan penekanan di kawasan luar bandar yakni 62 peratus atau hampir dua pertiga daripada perbelanjaan pembangunan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Pada Isnin, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membentangkan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM15.8 bilion.
Belanjawan bertemakan ‘Bersama Membina Masa Depan Sejahtera’ itu adalah yang terbesar dalam sejarah Sarawak.
Abang Johari berkata belanjawan itu akan terus menjadi bajet pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sarawak.