Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki

OMO 1958 tidak pernah dimansuh

KUCHING, 15 Nov: Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang memberikan kuasa untuk mengeluarkan lesen penerokaan, pajakan perlombongan dan sijil bagi mengawal selia perlombongan minyak di daratan dan luar pesisir Sarawak kekal sah serta berkuat kuasa selain tidak pernah dimansuhkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, pihak atau syarikat yang beroperasi di Sarawak mesti mematuhi semua undang-undang negeri yang berkaitan khususnya OMO 1958 dan Ordinan Pengagihan Minyak, 2016 (Cap 72).

“Setakat diketahui Dewan yang mulia ini, tiada sesiapa yang menyerahkan hak tersebut.

“Jika anda menyerahkan hak itu, anda adalah seorang pengkhianat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, Perintah (Pengubahan Sempadan) Sarawak 1954 telah dikeluarkan oleh Ratu Elizabeth II pada waktu itu, berdasarkan Akta Sempadan Kolonial 1895.

“Melalui perintah tersebut, sempadan Sarawak diperluaskan untuk merangkumi kawasan pelantar benua, termasuk dasar laut dan subpermukaan yang terletak di bawah laut terbuka berdekatan dengan perairan wilayah Sarawak.

“Walaupun batasan atau had pelantar benua tidak dinyatakan dengan jelas dalam perintah tersebut, namun definisinya dinyatakan sebagai dasar laut dan subpermukaan yang terletak di bawah laut terbuka berdekatan dengan perairan wilayah Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, pada tahun 1952, Kerajaan Sarawak ketika itu telah mengeluarkan pajakan perlombongan kepada Sarawak Oilfields Limited (SOL), anak syarikat milik penuh Royal Dutch Shell.

“Selepas Perintah pada tahun 1954 melalui satu Surat Ikatan bertarikh 13 Mei 1956, kawasan perlombongan di bawah pajakan ini diluaskan untuk meliputi kawasan pelantar benua, memberikan hak kepada SOL untuk mengeksploitasi dan melombong petroleum dalam kawasan pelantar benua.

“Oleh itu, sejak tahun 1956, Sarawak telah melaksanakan hak eksploitasi dan perlombongan petroleum di kawasan pelantar benua, termasuk memperluaskan kawasan dalam sempadan wilayah.

“Malah, pada tahun 1958, Badan Perundangan Sarawak dikenali sebagai Majlis Negri pada waktu itu, meluluskan OMO 1958 (Cap. 85) untuk mengawal perlombongan minyak di Sarawak, termasuk pelantar benua,” jelasnya.

Tambahnya, berdasarkan perkara tersebut, wilayah Sarawak termasuk pelantar benua di luar perairan wilayah sehingga kedalaman 200 meter atau melebihi had tersebut sehingga kedalaman air membolehkan eksploitasi sumber asli di dasar laut dan subpermukaannya.

“Bagi pihak yang mempertikaikan, tidak timbul isu pelantar benua yang tidak didefinisikan dengan jelas dalam Perintah 1954 kerana Konvensyen Geneva mengenai Pelantar Benua telah menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “pelantar benua” bagi sesebuah negeri.

“Sarawak adalah wilayah yang sedia ada sebelum Hari Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan dan termasuk pelantar benua di luar laut wilayah seperti yang ditakrifkan oleh Konvensyen Geneva mengenai Pelantar Benua 1958.

“Berdasarkan fakta sejarah yang jelas ini, kawasan pelantar benua yang berada dalam sempadan Sarawak yang diperluas, adalah sebahagian daripada wilayah Sarawak,” kata Ibrahim.

Menurutnya, Sarawak telah melaksanakan hak ke atas sumber petroleum dalam pelantar benua tersebut sebelum Hari Malaysia dengan memasukkan kawasan pelantar benua dalam pajakan perlombongan yang dikeluarkan kepada SOL.

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan pajakan perlombongan dan pensijilan adalah bidang kuasa perundangan negeri menurut Perkara 2(c) dalam Senarai Negeri (Senarai II) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, Sarawak mempunyai kuasa perundangan dan eksekutif ke atas pengeluaran pajakan perlombongan dan sijil bagi mengawal perlombongan minyak, termasuk di pelantar benua,” tambahnya,-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan