RANAU, 15 Nov: Seorang warga emas rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran di Kampung Muhibbah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa Wong Ling Ying, 74, ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumah oleh pasukan bomba.
Difahamkan tiga lagi mangsa turut mengalami kecederaan melecur iaitu anak dan dua cucu kepada mangsa yang maut.
Ketiga-tiga mangsa dikatakan sempat keluar menyelamatkan diri dengan melompat dari tingkap rumah di bahagian atas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.20 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan dua rumah dan dua kenderaan Toyota Hilux Single Cab serta Perodua Myvi.
“Pasukan operasi terus bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dari sumber air pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ridwan berkata, api berjaya dikawal jam 2.28 pagi dan seorang mangsa warga emas ditemui rentung di rumah pertama.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Anak mangsa berusia 48 tahun serta dua cucunya perempuan berusia sembilan dan lelaki berusia 11 tahun turut melecur dalam kejadian itu.
“Semua mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 4.14 pagi dan setakat ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – TVS