KUCHING, 15 Nov: Elaun pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi perlu dinaikkan selari dengan tugas dan tanggungjawab mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di Sarawak banyak membantu sebagai pemudahcara pelaksanaan dan dasar kerajaan di peringkat akar umbi.
“Maka, saya juga ingin menyeru kepada pihak kerajaan agar dapat mempertimbangkan elaun pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi ini dinaikkan sewajarnya selari dengan bidang tugas dan tanggungjawab mereka.
“Dan sebagai tambahan, dicadangkan juga agar diwujudkan skim-skim bantuan khas kepada KMKK yang telah tamat tempoh perkhidmatan, sekurang-kurangnya selepas tamat perkhidmatan golongan ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sementara itu, beliau turut berharap Kerajaan Sarawak memberikan sokongan penuh kepada Kuching City FC yang membawa identiti wilayah ini di pentas tertinggi liga di Malaysia.
“Tahniah kepada KCFC atas pencapaian yang sangat membanggakan, apa yang dicapai ketika ini bukanlah datang dengan mudah, semuanya memerlukan komitmen, usaha yang kuat dan pengorbanan.
“Oleh itu, dicadangkan agar Kerajaan Sarawak turut memberikan sokongan penuh kepada KCFC dalam memastikan pasukan ini melangkah lebih jauh sehingga ke peringkat Asia,” ujarnya.-TVS