KUCHING, 15 Nov: Jalan balak perlu dinaik taraf kerana menjadi akses utama bagi pembangunan di kawasan luar bandar Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, ia boleh dianggap sebagai jalan penghubung utama ke kampung dan rumah panjang.
“Ini kerana jalan tersebut merupakan akses utama bagi kawasan seperti Jelalong, Tubau, Ulu Sungai Belaga, Long Urun, Metalun, Tegulang, Sungai Linau dan Sungai Asap.
“Sehubungan itu, jalan bekas balak ke Lusong Laku (55 kilometer) dan Ulu Jelalong, Tubau (88 kilometer) yang rosak teruk dan sering terputus ekoran jambatan yang diperbuat dari kayu balak sudah reput.
“Tindakan segera dan perhatian perlu diberikan bagi mengelak penduduk di sekitar kawasan tersebut yang semakin terkesan sehingga menyukarkan aktiviti harian mereka,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sementara itu, Kennedy turut memohon bantuan kerajaan dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran beas.
“Ini bagi memastikan keterjaminan makanan tempatan khasnya kepada rakyat Sarawak dengan menaik taraf sistem perparitan, tali air di sawah padi di Sarawak,” ujarnya.-TVS