KUCHING, 15 Nov: Kawasan luar bandar Long Lama berpotensi untuk dibangunkan sebagai zon perindustrian termasuk mengembangkan industri hiliran sarang burung serta industri berasaskan kayu dan buluh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Datuk Dennis Ngau berkata, sejumlah RM40 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan 14 kawasan perindustrian di seluruh negeri.
“Menerusi langkah ini, kita akan menerima manfaat kerana zon perindustrian ini secara langsung dan tidak langsung akan merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk di dalam dan sekitar kawasan tersebut.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar Long Lama dipertimbangkan sebagai salah satu tapak untuk dibangunkan menjadi zon perindustrian di negeri ini.
“Dengan keterhubungan jalan yang lebih baik menghubungkan Long Lama ke bandar-bandar utama di negeri ini, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2025) Persidangan DUN hari ini.
Dalam perkara lain, Dennis turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana meluluskan peruntukan untuk membina tembok penahan di Kampung Long Watt, Kampung Long Bemang dan Kampung Long Banyok.
“Satu projek telah dimulakan dan dua lagi sedang dalam peringkat tender,” ujarnya.
Beliau menambah rumah panjang atau kampung lain turut memerlukan perlindungan tebing sungai termasuk di Sg Baram seperti Long Ikang, Long Lama, Long Selatong Tepalit, Long Keseh; di Sg Apoh seperti Long Atip dan Fasa 2 Long Bemang; serta di Sg Layun melibatkan Long Liwok dan Long Leng.
“Saya menggesa kementerian dan agensi berkaitan untuk meneliti permintaan di atas,” jelasnya.-TVS