MUKAH, 15 Nov: Serbuan mengejut ke tapak dipercayai menjadi port aktiviti sabung ayam di Jalan Lama Selangau mengejutkan 15 lelaki sebelum empat daripada mereka ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitendan Polis (DSP) Muhammad Rizal Alias berkata, serbuan dilakukan pada jam 1.30 tengah hari selepas polis menerima maklumat daripada orang awam sebelum melakukan risikan di lokasi berkenaan.
Ketika serbuan itu dilakukan menurutnya, kesemua suspek sedang leka menjalankan aktiviti sabung ayam sebelum pihak polis datang.
“Sebaik menyedari kehadiran polis, kesemua mereka bertempiaran lari ke dalam belukar. Namun empat daripadanya masing-masing berusia 21 hingga 31 tahun berjaya diberkas.
“Hasil ujian air kencing ke atas suspek, tiga daripada positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas, dua ekor ayam hidup, tiga bilah taji, satu unit alat penimbang, pelbagai peralatan perjudian dan wang tunai.
Susulan itu katanya, kertas siasatan di bawah Seksyen 73 (1) (g) Ordinan Veterinar Kesihatan Awam 1999 dibuka yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan tiga tahun tempoh pengawasan polis.
“Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada 15 November di bawah Mahkamah Majistret Mukah,” ujarnya. – TVS