KUALA LUMPUR, 15 Nov: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan liberalisasi dasar pertukaran asing (FEP) bagi bank pembangunan pelbagai hala (MDB) dan institusi kewangan pembangunan bukan pemastautik (IKP) berkelayakan.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata liberalisasi ini dilaksana bagi memudahkan penyertaan pelaburan institusi terlibat dalam bidang pertumbuhan utama di Malaysia.
Jelas beliau, sektor berkenaan termasuk industri elektrik dan elektronik (E&E), penggunaan teknologi, kemampanan dan pusat data.
“Ini adalah sejajar dengan permintaan dan minat yang ditunjukkan institusi kewangan antarabangsa untuk membiayai projek pelaburan bernilai tinggi di Malaysia yang kita perhatikan dalam tempoh kebelakangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengunguman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Katanya, institusi kewangan yang layak kini bebas untuk menerbitkan dalam denominasi ringgit untuk kegunaan dalam negara, selain menyediakan pembiayaan ringgit kepada entiti pemastautin.
“Fleksibiliti ini akan meluaskan peluang pembiayaan dalam ringgit untuk menyokong pelaburan perniagaan dengan mengurangkan risiko ketidakpadanan mata wang.
“Pada masa sama, merangsang lebih banyak terbitan dan penyertaan oleh penerbit global dan pelabur antarabangsa bagi projek dalam negeri dan pasaran sukuk,” katanya. -TVS