PERU, 14 Nov: Beberapa syarikat terkemuka dari Peru menunjukkan minat khusus terhadap keupayaan Malaysia mengeksport produk seperti peralatan dan produk perubatan, bahan binaan berkaitan keluli dan kaca, serta produk-produk barangan pengguna ke negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Meja Bulat yang berlangsung di Lima hari ini memberikan peluang kepada syarikat-syarikat Peru untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai dasar Malaysia khususnya dalam perkara seperti peralihan tenaga, kelestarian serta pensijilan halal.
“Mesyuarat Meja Bulat dengan pemimpin industri dan perniagaan merupakan platform bagi menerangkan peluang dalam bidang perdagangan serta pelaburan ke dalam negara kepada syarikat dari Amerika Selatan.
“Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 22 wakil daripada 20 organisasi, termasuk konglomerat terkenal Peru seperti Grupo Romero, Grupo Armejo Yepez, dan Grupo Molicom.
“Terdapat juga wakil daripada Pihak Berkuasa Pelabuhan Negara Peru dan Dewan Perniagaan Kebangsaan,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial miliknya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat secara aktif itu membincangkan strategi untuk memanfaatkan Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-pasifik (CPTPP) memandangkan kedua-dua negara merupakan ahli dalam perjanjian ini, serta potensi kerjasama dalam logistik maritim termasuk pengurusan pelabuhan. – TVS